Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Janda baik , pahang

Janda
Begitulah juga dengan nama Janda Baik, sebuah kampung yang terletak berhampiran Lebuhraya Karak dalam daerah Bentong, Pahang.

Sebut saja namanya, pasti ramai ingin mengetahui sejarah uniknya seperti mana lelaki ingin mengetahui lebih lanjut mana-mana wanita bergelar janda.

Menjejakkan kaki di Janda Baik baru-baru ini, merungkai serba sedikit bagaimana kawasan yang boleh dikatakan terpencil ini mendapat namanya yang unik.

Bagi yang tidak mengetahui sejarah Janda Baik, mungkin timbul persoalan sama ada ia berkaitan dengan seorang wanita bergelar janda di situ dan adakah pula kerana di situ ada ramai janda hingga diberikan nama sedemikian.

Menceritakan asal usul nama Janda Baik, wartawan Metro Ahad menemui Mohammad Tahir Daud Patt, 86, generasi kedua perkampungan itu dan penduduk tertua di sana.

Dia yang mengikut keluarganya berpindah ke Janda Baik pada 1936, selepas enam tahun perkampungan itu dibuka, menceritakan lokasi terbabit asalnya adalah kawasan terpencil didiami sekumpulan Orang Asli di Pahang.

Namun, ia diteroka oleh masyarakat Melayu pada 1930 apabila mereka mencari kawasan perkampungan baru selepas berlakunya banjir besar pada 1926 yang menenggelamkan banyak kawasan sekitar Semenanjung.

"Sebenarnya penduduk di sini asalnya dari Bentong. Ketika mereka sibuk mencari kawasan baru untuk membina kampung, ada tiga sahabat yang dikenali sebagai Deris, Kadir dan Yasir menjumpai satu kawasan tanah datar dipenuhi hutan dikelilingi oleh gunung-ganang.

"Bagi melihat sama ada sesuai dibina perkampungan atau tidak, mereka bertiga berpakat membina pondok dan duduk hampir seminggu di sana. . . jadi bermula detik itulah kampung ini dibuka," katanya.

Berdasarkan cerita lisan yang diturunkan secara turun temurun, bagi memberi nama kepada penempatan itu, ketiga-tiga peneroka itu pada mulanya ingin meletakkannya sebagai Kampung Tiga Haji, yakni merujuk kepada usaha mereka bertiga yang membuka kawasan berkenaan.

Namun, Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah, iaitu Sultan Keempat memerintah Pahang yang membuat kunjungan kali pertama di sana pada 1932 tidak berkenan dengan nama berkenaan.

Akhirnya, penduduk di situ bercerita kepada baginda bahawa kawasan berkenaan sebenarnya didiami Orang Asli yang turut menanam padi serta buah-buahan.

Bagaimanapun, pada satu ketika berlaku pertengkaran antara Tok Batin Orang Asli berkenaan iaitu Batin Wok dengan isterinya, Siah, hingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpisah.

Namun tidak sampai satu bulan berpisah, akhirnya Siah balik semula ke rumah Batin Wok apabila padi ditanam masak dan hidup bersama suaminya semula.

Berdasarkan kisah itu, Orang Asli di sana menggelar tanah berkenaan sebagai `Janda Balik' merujuk kepada Siah yang balik semula ke pangkuan Batin Wok.

Baginda Sultan Abu Bakar yang tertarik dengan kisah yang disampaikan itu kemudian menukar nama kepada Janda Baik, sekali gus kekal sehingga kini.

Menariknya, walaupun kini Janda Baik terkenal dengan namanya yang unik dan menjadi tumpuan sebagai lokasi percutian dan beriadah, namun dulu kebanyakan penduduk di sana malu jika ditanya dari mana asal mereka.

"Dulu bila kami turun ke Bentong membeli barang, seboleh-bolehnya kami mengelak untuk ditanya kami dari mana.

"Ini kerana, jika kami memberitahu dari Janda Baik, mereka menganggap kami keturunan Orang Asli di situ, sedangkan asal kami dari Bentong dan ada pula yang mengejek supaya dibawakan janda di sana untuk mereka," katanya.

Namun, selari dengan peredaran masa, nama Janda Baik yang unik itu membawa kebanggaan kepada penduduk selain menggamit kedatangan pelancongan dalam dan luar negara, sekali gus menambah lagi sumber ekonomi penduduk di sana.

Sementara itu, Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Ayop atau lebih dikenali sebagai Tok Empat di kalangan penduduk pula berkata, ada satu lagi cerita berbeza bagaimana kawasan itu mendapat namanya.

Katanya, kawasan terbabit mendapat nama Janda Baik berikutan wujudnya seorang janda membantu merawat penduduk Pahang yang cedera setelah menyertai peperangan saudara di Selangor pada 1918.

Ketika tercetus peperangan itu, Selangor meminta bantuan dari Pahang dan kerana kedua-dua negeri ini bersahabat baik, bantuan dihantar ke sana.

Namun ketika menyertai peperangan itu, banyak rakyat Pahang tercedera dan ada antara mereka terpaksa berpatah balik ke Temerloh.

Ketika menuju semula ke Temerloh, mereka terpaksa melalui satu kawasan hutan dikelilingi bukit bukau dan kebetulan bertemu seorang janda yang menawarkan khidmat untuk merawat mereka yang tercedera serta berlindung di rumahnya.

"Jadi, atas nama itulah munculnya nama Janda Baik. Jadi, bila ditanya di mana mereka mendapat rawatan, mereka mengatakan di satu kawasan didiami seorang janda yang baik dan sejak itu dikatakan mereka memanggil kawasan berkenaan sebagai Kampung Janda Baik," katanya.

Janda Baik, Pahang

* Dibuka secara rasmi pada 1932

* Terletak kira-kira 36 kilometer dari Kuala Lumpur dan 40 kilometer dari Bentong, Pahang

* Kedudukan kawasan di Banjaran Titiwangsa pada ketinggian 600 hingga 800 meter dari paras laut

* Suhu mencecah 28 darjah Celsius (siang) dan 22 darjah Celsius (malam)

* Menyimpan khazanah flora dan fauna, termasuk pokok Balau berusia 250 tahun

* Mempunyai empat kampung tradisional Melayu, iaitu Kampung Sum Sum, Cheringin, Chemperoh, Kampung Janda Baik dan Kampung Orang Asli Semelai

* Menjadi tempat pertemuan empat aliran sungai utama iaitu Sungai Benus, Sungai Cheringin, Sungai Sum Sum
Sumber: http://zonfiniti.blogspot.my/2010/10/janda-baik-pahang.html#ixzz3p4lXI2Qu